Bismillahirahmahnirahim…lame sangat tak menulis blog…rindu pulak(yeke??hahha)… post kali ini brinspirasikan seorang kawan saya yang blh dikatakan rpat…seorang yang merasakan perasaan phobia dan rse sakit hati yang teramat kepada kaum yang berlawanan dengan dia dek kerana trajedi lampau…nasihat yang diberi ibarat menambah minyak gas kepada api yang marak…lantaran itu nukilan tulisan novel ini khas pada mereka yang merasakan phobia dan trauma kepada kaum yang berlawanan tak kira lelaki atau permpuan….ribuan maaf kepada mereka yang merasakan karya ini hasil mereka..x salahkan menyebarkan ilmu dan mnambahkan pahala bgi penulisnya…


 


 


 


 


 

mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih Allah
Susah dan senang rela bersama...
Dapatkah ku didik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijak
Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan...


Mengalir air mataku
Melihat pegorbanan puteri solehah Siti Fatimah
Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya, yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga...

Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah....

Tabah jiwaku
Setabah umi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga
Di terik padang pasir merak
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada Allah
Itulah wanita Siti Hajar....

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah....


 

TERIMA KASIH SUMMAYYAH


 

"BUNGKUSAN plastik di atas meja direnung lama. Di dalamnya mengandungi majalah dan laptop kiriman umi buat hawa bernama Sumayyah. Ikmal serba salah. Hatinya berat mahu menyerahkan bungkusan kepada tuan punya.

Dia dibungkus variasi perasaan. Terbahagi dua hatinya saat itu. Jika tidak diserahkan bererti dia mengkhianati janji dan amanah umi. Hendak diserahkan dia tidak ingin bersua wajah dengan hawa tersebut. Bimbang kewalahan tika berjidal. Dia rijal, 'lah-rijal qawwamu a'lah an-nisa' tidak mungkin tunduk kepada makhluk Khalik bernama Sumayyah atau sesiapa sahaja daripada golongan hawa. Makhluk yang telah lama dibenci dan didendami.

"Mal, ini salinan laporan pesakit yang kau minta saya copykan". Suara garau Shamsul singgah di corong telinga. Entah bila doktor muda itu masuk dia tidak menyedarinya.

"Thanks." Pendek lidah berbicara. Fail bertukar tangan. Ikmal bungkam. Kedengaran dia mendengus kecil.

"Hei, kau Kenapa? Macam orang mati bini". Shamsul memancing. Ingin sekali dia menyelami lubuk hati rafik yang akrab sejak di bangku sekolah.

Shamsul tahu, Ikmal agak pendiam dan jarang mahu menyusahkan sesiapa. Dia faham sangat perangai rafik yang satu itu. Rahsianya kemas tersimpan. Jarang mahu dilontar dan diluahkan. Shamsul juga tahu, Ikmal pembenci no satu makhluk Khalik daripada golongan hawa. Puncanya ibunya pernah dikhianati ayahnya kerana tingkah hawa pidana. Mahligai bahagia yang didirikan atas dasar cinta dan kasih sayang sekian lama musnah hanya kerana hawa pidana tersebut. Kembar Ikmal, Akmal mengidap sakit jantung berlubang maut dalam menanti bantuan perubatan daripada ayahnya yang disekat hawa pidana material dunia.

Sebagai seorang rafik, Shamsul tidak menyalahkan Ikmal. Tidak juga dia membenarkan tingkah rafik tersebut. Pernah dia menasihati dan mentauladankan Ikmal namun hati rafik tersebut masih juga begitu. Hampir sahaja dia gembira ketika berada di kampus apabila suatu hari rafik tersebut menyambut baik huluran salam perkenalan Natasya. Junior setahun daripada mereka. Ketika itu dialah insan yang paling bahagia. Bahagia kerana Ikmal tulus menyulam dan menyimpul kasih setia buat hawa. Sehingga Ikmal bersedia menyunting Natasya daripada bustan orang tuanya. Namun sayang, Natasya juga pidana. Bermain kayu tiga di saat Ikmal didatangi derita.

Pasca itu, Ikmal tidak betah lagi tersenyum. Peristiwa-peristiwa pahit tersebut membatukan hatinya. Kepada hawa bergantang-gantang kesumat dendamnya. Jarang Ikmal duduk semeja dengan hawa. Jika adapun hanya atas urusan kerja. Untuk mengenali fungsi airmata jauh sekali. Sementelah rutin seorang doktor. Saban hari berhadapan dengan kesakitan dan maut pesakit membuatkan dia lali dengan semua derita.

"Tak ada apa-apalah. saya ok. Jangan risau. Sham, kau dah jumpa doktor Mohans? Semalam dia called saya suruh bagitahu kau yang dia nak kau turut sama dalam check up pesakit di wad tiga Delima." Sengaja Ikmal mengubah tajuk. Shamsul bukan boleh dilayan sangat. Nanti tidak pasal-pasal terhidu tembelangnya.

"Belum lagi. Sekejap lagi saya ke bilik doktor. Kau betul tak apa-apa? Kalau perlukan saya. saya setia menemani."

"No, thanks. saya ok. Nanti dah terdesak baru saya cari kau." Sengaja Ikmal berlucu. Menghilang nubari gusar di hati rafik setia.

Fail pemberian Shamsul diladeni cermat. Semuanya kerana umi dan perasaan dia sendiri ingin tahu siapa sebenarnya hawa tersebut. Tidak sanggup membiarkan hawa mempermainkan darah dagingnya. Umi beria-ia meminta dia menerima hawa tersebut sebagai pesakitnya.

Menurut umi, hawa tersebut salah seorang tenaga pengajar yang disayangi di sekolahnya. Ah! umi mudah benar percayakan hawa. Tidak serik agaknya dipermainkan kawan karib sendiri suatu ketika dahulu.

Sorot mata membaca laporan pesakit di tangan.

Sumayyah bte Muhammad Yasir. Namanya persis srikandi pertama yang syahid di awal penyebaran Islam. Ketegasan dan kekentalan semangatnya tergambar melalui namanya. Ikmal kagum. Jantungnya berdegup pantas. Berusia 23 tahun. Berdarah jenis 'O'. Mengidap asma dan kerosakan hati yang hampir ke tahap serius. Mengalami ascities luar kawal yang kadangkala menyebabkan kesukaran bernafas. Sedang menanti penderma hati yang sesuai. Seorang penuntut institut pengajian tinggi di Timur Tengah.

"Dia mengalami sakit sebagaimana Ikmal dahulu. Bezanya kerosakan hati Ikmal tidak seserius hatinya. Ikmal tidak memerlukan penderma. Tetapi dia masih tercari-cari dan menanti penderma hati yang sesuai. Bantulah dia. Sumayyah tenaga pengajar yang umi cari dan kagumi. Meskipun hanya guru sementara, umi dan dia rapat. Persisnya dia anak umi sebagaimana Ikmal. Tiada rahsia di antara kami. Dia lubuk ilmu dan sumber rujukan bagi kami dalam masalah-masalah akademik dan agama. Dia tidak pernah merungut atau berat tulang apabila umi memerlukan bantuan. Dia juga sering menjadi bidan terjun apabila guru-guru lain dan umi terdesak".



"Sumayyah perawan suci bukan pidana yang selalu Ikmal benci. Bantu umi selamatkan dia. Ikmal pernah mengidap penyakit yang sama dengannya kerana itu umi mahu dia diletakkan di bawah pengawasan Ikmal. Umi pinta Ikmal lontarkan jauh prasangka buruk hawa pidana daripada Sumayyah. Bantu saja dia kerana umi jika Ikmal tidak menyukainya. Umi mengenalinya. Dia benar-benar persis Sumayyah srikandi pertama yang syahid dalam membenarkan dakwah Rasulullah. Semangatnya untuk terus hidup, menyedar serta membantu manusia kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seringkali membuatkan hati umi tidak tenteram jika umi tidak membantunya."

Gancang fikirannya mengingati buah kata umi beberapa minggu lepas. Dalam keterpaksaan dia menurut kata umi. Tidak sampai hati membangkang kata umi yang terlalu berharap. Seminggu selepas hawa itu dimasukkan ke wad umi bertanya lagi. Bagaimana perkembangan terbaru hawa itu. Bertambah parah apabila umi hadir melawat hawa tersebut. Dia terpaksa akur menebalkan muka meminta daripada pihak hospital supaya namanya disenaraikan dalam kes Sumayyah.

Perkenalan singkat bersama hawa tersebut meninggalkan kesan di nubarinya. Dia mula merasakan kebenaran kata umi. Sumayyah bukan pidana bukan juga hawa-hawa yang sering diprasangkanya. Sumayyah bukan persis Zulaikha yang pernah cuba menggoda Nabi Allah Yusuf A.S. Sumayyah juga bukan Hawa yang memujuk Adam sehingga dicampak Allah ke dunia. Tidak juga Siti Sarah yang cemburukan Hajar sehingga menyuruh Nabi Allah Ibrahim meninggalkan dua insan di padang sahara. Bukan juga Puteri Gunung Ledang yang meletakkan permintaan gila kepada Sultan Mahmud supaya mengorbankan darah daging sendiri semata-mata memenuhi syarat pernikahan keduanya. Yang pasti Sumayyah bukan Natasya yang berlaku curang bersama lelaki lain ketika dia disapa derita.

"Sedang menanti penderma hati yang sesuai?" Sedaya mungkin dia berbahasa di pertemuan pertama kala berhadapan dengan hawa tersebut. Janggal rasanya berbicara lembut sebegitu. Tambahan Sumayyah seorang hawa.

"Begitulah kira-kiranya. Tetapi saya tidak berharap."

"Mengapa kata begitu? Tidak yakin dengan kecanggihan teknologi perubatan moden? Usah khuatir, sudah ramai pesakit yang berjaya menjalani perubatan ini."

"Kalau awak masih ingat, pemindahan hati paling popular pada tahun 1999. Di mana seorang kanak-kanak yang menerima hati daripada seorang pemuda Kedah telah berjaya dilakukan. Sehingga kini kanak-kanak tersebut berjaya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Peluang untuk hidup selepas pembedahan yang dijalankan ialah 80 peratus pada tahun yang pertama dan 70 peratus bagi lima tahun seterusnya."

"Adik Afiq yang doktor nyatakan tadi terselamat kerana hatinya bersesuaian penderma. Tetapi bagaimana pula dengan yang sebaliknya? Kecanggihan perubatan moden yang disebutkan bukan penjamin kehidupan seseorang. Hebat bagaimanapun, sekiranya Dia menghendaki seseorang itu mati tetap akan mati juga. Bukankah telah difirmankan; Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila telah tiba ajalnya."

"Kisah adik Atiqah meninggal dunia setelah menjalani pemindahan hati pernah menggemparkan Malaysia bukan?" Ah, hawa ini tidak dangkal ilmu perubatannya.

"Cik Sumayyah, adik Atiqah meninggal kerana orang yang menderma hati tersebut tiada kaitan darah dengannya." Pantas Ikmal mempertahankan hujah.

Sumayyah senyum. Kelihatan lesung pipit di kedua belah pipinya.

"Mengapa tidak katakan sahaja ajalnya telah tiba?" Panas terasa di cuping telinga. Ikmal kematian hujah. Sumayyah dipandang marah. Hatinya panas. Egonya seolah jatuh. Terasa kredibilitinya diperkotak-katikkan.

"Maafkan. Dari riak doktor, saya pasti doktor marah. Saya tidak berniat mahu menyanggah kata doktor. Jauh sekali ingin mengaku hebat. Saya cuma ingin doktor tahu dan sedar di sebalik kecanggihan atau kehebatan sesuatu itu adanya yang lebih berkuasa yang lebih patut dan wajib kita percaya. Manusia sekarang lebih mempercayai sesuatu berbanding Pemilik, Pencipta sebenar. "

"Benar kata doktor. Tiada kaitan darah salah satu penyebab kematian adik Atiqah. Saya tahu, seorang penderma mestilah terdiri daripada keluarga. Yang mempunyai emosional related personal seperti suami isteri. Penderma juga mesti mempunyai hubung kait dari segi emosi umpama kawan baik dan sesiapa yang akrab dengan pesakit." Hawa itu kelihatan tenang menyusun bicara. Mungkin dia tahu dia tidak akan temui ciri-ciri penderma tersebut.

Ikmal mula mengkagumi hawa tersebut. Kata umi hawa tersebut hanya penuntut jurusan agama di universiti Azhar. Bagaimana bisa mengetahui semua itu?

Sumayyah persis dapat membaca kata hatinya.

"Tidak semestinya seorang yang tidak mendalami bidang perubatan seperti doktor hanya mengetahui ilmu dicabang-cabangnya. Ilmu Allah itu luas. Layak dipelajari oleh sesiapa sahaja. Seorang cerdik pandai Islam ada menyatakan, ilmu yang hilang itu adalah harta bagi mukmin yang menemuinya".

Hampir sahaja Ikmal senyum. Namun segera dihilangkan.

"Benarkah begitu? Jika benar, sebutkan sahaja apa lagi yang awak tahu mengenai kasus perubatan ini?" Sengaja dia menduga pengetahuan hawa tersebut. Jika tersalah boleh dijidalkan. Egonya perlu dipertahankan.

"Hati, merupakan organ kedua terbesar. Sebarang gangguan mahupun kerosakan akan memberi kesan yang besar kepada sistem tubuh manusia secara keseluruhannya. Hati mengawal sebahagian metabolisma tubuh yang penting dalam pembinaan sel-sel badan. Kerosakan hati akan menyebabkan pengumpulan cecair dalam ruang peritoneum membawa kepada abdomen (ascites). Kesan ini akan berlaku kepada semua peringkat umur pesakit tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa. Jika ascites tidak dapat dikawal akan menyebabkan kesukaran bernafas, jangkitan kuman kepada organ-organ lain, gangguan dan kerosakan otak (encephalopxathy). Tidak mustahil ia juga boleh menyebabkan koma. Benar bukan?"

Ikmal semakin takjub. Hawa ini bukan sembarangan. Bukan pidana yang selalu dibencinya. Bukan penipu mahupun penggoda sebagaimana janda gila yang menikahi ayahnya. Katanya bertepatan dengan fakta perubatan. Hebat! Dia pasti bukan calang-calang orang. Egonya sedikit runtuh. 'Hei Ikmal, perlukah menjatuhkan ego dan kesumat yang kau pertahankan hanya kerana mengkagumi bicara hawa ini? Sudah lupakah kau segala kesakitan dan derita yang dialami?' Gancang hati berbicara tidak mengizinkan dia meruntuhkan ego dan kesumat yang dipertahankan semenjak sekian lama.

    
Akhirnya dia terpaksa tunduk mengakui kebenaran bicara hawa di hadapan waima hati mendangkal marah. Ketidakpuasan hati diturutkan agar menyusuli pertemuan berikutnya. Jika benar dia perawan suci tentu mempunyai keintelektualan dalam banyak perkara.

"Tidak punya keluarga yang sudi menderma? Hairan, takkan ibu sendiri tidak sanggup berkorban separuh hati untuk anak kesayangan. Kehilangan separuh hati tidak akan menjejaskan kesihatan. Ia akan tumbuh kembali selepas didermakan." Kebetulan dia mempunyai waktu terluang hari itu sengaja digunakan menemui hawa tersebut. Teringin benar dia melihat hawa itu walah dan marah dengan katanya.

"Ibu saya telah berkorban lebih daripada itu." Senyuman tidak lekang daripada bibir mungil hawa tersebut. Ikmal hairan. Kerlingan singgah di wajah hawa di hadapan.

"Maksud awak?"

"Ibu telah mengorbankan dirinya di saat melahirkan saya." Ikmal tergegau metah. Nubari bersalah bertimpa-timpa. Hampir sahaja dia tidak percaya. Dengan mudah dia walah dan tanpa disedari dia melukai hati hawa di hadapan.

"Maafkan saya. Saya tidak bermaksud…"

"Tidak mengapa. Saya mengerti mengapa doktor bertutur sedemikian. Makcik Nafisah telah menceritakan segala perihal doktor kepada saya.
Cuma, saya hairan. Mengapa perlu disamakan semua hawa dengan peristiwa pahit yang menimpa doktor?" Gemersik kedengaran suara hawa tersebut mencecah ke gegendang telinga.

"Awak tidak pernah mengalaminya. Mana mungkin awak mengerti. Awak hanya tahu saya derita tetapi tidak pernah merasai penderitaan yang saya alami. Bukankah rasa dan tahu berbeza?"

"Doktor bertuah. Waima ayah doktor telah berpisah dengan makcik, sekurang-kurangnya doktor masih punya ayah. Sempat juga doktor merasai dan mengenali kasih seorang ayah meski sebentar cuma. Doktor juga punya seorang ibu yang penyayang. Tidak jemu melayan dan memenuhi kehendak doktor. Sedang saya tidak pernah mengenali apalagi merasai tulus kasih seorang ibu. Saya hanya mempunyai seorang ayah yang kehilangan isterinya. Dan kini membanting tulang demi membiayai perubatan saya. Dalam usia sebegini sepatutnya saya telah boleh membahagiakan dia. Namun sebaliknya." Sinar ketabahan tampak di mata jelinya.

Ikmal membisu. Sekali lagi dia tergegau. Benarkah? Tabahnya dia. Ah! Persetankan. Hatinya masih tidak membenarkan dia terus walah apalagi tunduk dengan bicara hawa yang bernama Sumayyah di hadapan.

"Wajarkah dipanggil ayah sedang dia tidak pernah mempedulikan hak saya sebagai seorang anak? Layakkah dia dikasihi dan dihormati sedang dia tekal membiarkan anak sendiri derita dan kemudian maut kerana terlalu menuruti kata hawa pidana yang digilai? Layakkah?" Hampir sahaja dia menjerit.

Pesakit-pesakit yang berada di wad tersebut memandang dan berbisik sesama sendiri. Sumayyah masih seperti tadi. Tenang. Tidak banyak bicara.

"Kenapa diam? Sudah tewas atau telah kehilangan hujah?" Emosinya benar-benar terganggu apabila mengingati insan yang bergelar 'ayah'. Wajah hawa pidana persis mentertawakan dirinya. Segera wajah kembarnya yang terlantar derita bergentayangan di tubir mata.

"Dia tidak layak untuk dipanggil ayah apatah lagi untuk dihormati. Dia sendiri yang memutuskan hubungan di antara kami."

Sumayyah masih juga membisu. Gementar barangkali.

"Maafkan. Saya kira emosi doktor terganggu. Ada baiknya kita tamatkan pertemuan ini. Seseorang yang dikuasai emosi tidak akan mudah menerima sesuatu perkara meskipun perkara tersebut adalah kebenaran." Akhirnya hawa itu bersuara. Dan dia tidak menunggu lama untuk terus berada di situ.

"Mal, kau Kenapa. saya cakap dengan kau ni!"

Sentuhan Shamsul di bahu menyedarkannya. Dia meraup muka. Segera dia berpaling. Tampak wajahnya berubah menahan perasaan.

"Pagi-pagi dah melamun. Ada masalah ke? Berterus-teranglah mana tahu ia akan melegakan. Risau saya tengok kau. Dah hampir tiga hari kau berkelakuan begini. Atau ada baiknya kau ambil MC."

"Tiada apalah. saya sihat. Masalah kecil sahaja." Ikmal masih berusaha menyembunyikan gelodak hati. Dia berdiri mencapai fail dan stetoskop ingin menuju ke wad. Bungkusan plastik kiriman umi turut dicapai.

"Maafkan saya tempoh hari. Memang saya terlalu menurut emosi." Ikmal berusaha menepis ego dan dendamnya saat itu. Pesanan umi diingati sebaiknya. Hawa di hadapan bukan pidana tetapi perawan suci, menyalin ketabahan dan kekentalan semangat Sumayyah srikandi syahid kala Islam mula bertapak.

"Saya telah lupakan."

"Ini ada sedikit kiriman daripada umi buat awak." Bungkusan plastik bertukar tangan.

"Apa ni? Makcik terlalu baik. Saya tidak mungkin bisa membalas budi dan jasanya." Kelihatan hawa di hadapan terkesima dengan kiriman umi.

"Bukan senang umi mempercayai dan menyayangi orang. Beruntunglah awak berjaya menambat hatinya.
Tentunya awak seorang yang berminat dengan mandala penulisan." Ikmal berusaha mengawal gugup. Entah mengapa nubari gementar. Kapilari darah berlari laju segenap jihat. Sengaja dia membuka tajuk baru. Mengelak sengketa berpanjangan.

"Bagaimana doktor tahu?"

"Saya hanya meneka melalui kiriman umi."

Sumayyah senyum. Lesung pipit di kedua belah pipinya timbul menyerlahkan keaslian wajah yang dimiliki. Pantas debar menjalari nubari. Ah! Mengapa? Dia sendiri hairan dengan perasaannya kini. Bukan dia tidak pernah melihat senyuman dan lesung pipit itu sebelum ini. Tetapi, ah! Dia tidak mengerti.


"Saya belajar banyak perkara melalui mandala ini. Ia kekuatan zahir batin hidup saya. Kewajipan yang telah diamanahkan Khalik setelah saya menyedari peri pentingnya."

Ikmal semakin berminat. Berlainan benar hawa ini. Dia mula memasang telinga, mengizinkan hawa tersebut terus mengatur bicara.

"Dari segi apa? Saya tidak pernah terfikir. Benarkah?" Hawa di hadapan senyum tenang. Ikmal serba-salah. Dia tidak senang duduk. Degup jantung pantas disulami debar. Kelainan terasa. Perasaan apakah ini? Ia pernah hadir suatu ketika dahulu. Ketika mengenali hawa yang pernah bertakhta kemudian memusnahkan kepercayaannya terhadap hawa sendiri. Natasya! Nama itu hadir di jihat sukma.

"Mandala ini salah satu jalan berkesan dan mudah bagi kami menyampaikan ilmu. Dakwah dan ilmu akan sampai ke semua lapisan umur tanpa mengira warna kulit dan bangsa. Ia juga merupakan kekuatan dalam menentang musuh-musuh Islam. Seorang penulis terkemuka Turki Aminah Uzqan Syenlikoghu banyak menghasilkan karya-karya yang menggerunkan musuh Islam. Beliau pernah dipenjarakan beberapa kali kerana karyanya. Saya mengkagumi semangatnya. Yang pasti hasil melalui penulisan ini merupakan tinggalan berharga buat generasi akan datang. Lupakah doktor pada wasiat akhir Rasulullah SAW; sesungguhnya saya tinggalkan dua perkara kepada ummatku (al-Quran dan Hadis). Sekiranya mereka berpegang teguh kepada keduanya nescaya mereka tidak akan sesat selamanya. "

Ikmal mengangguk-angguk kepala. Kini dia mengetahui sedikit sebanyak peri- pentingnya mandala yang diminati hawa di hadapan.

"Baguslah kalau begitu. Teruskan usaha murni awak. Jika punya kesempatan hasilkan satu karya buat saya." Ikmal sendiri tidak mengetahui darimana datangnya kekuatan menyokong bicara hawa tersebut. Hilang kesumat dendam yang menggunug. Tidak semena-mena dia mengukir senyum.

Semenjak hari itu dia mula mengenali hawa bernama Sumayyah. Pantang punya waktu terluang pasti dia akan menyua wajah menemani dan berkongsi cerita bersama. Sehingga dia terlupa teman yang sering didekati itu adalah daripada golongan hawa yang pernah dibencinya. Dia juga mengetahui bahawa Sumayyah pernah dikecewakan tunang sendiri. Tunangnya berubah hati menikahi teman baiknya di kampus yang sama. Alasannya terlalu lama menanti kepulangan Sumayyah.

"Tentu saja Islam ada jawapannya." Lembut suara itu berdesir memasuki cuping telinga.

"Bagaimana?"

"Dalam Islam ada satu kaedah yang disebut 'Kaedah Fekh'. Istilahnya berbunyi begini, ad-dharrar lah yuzal biddharar, kemudaratan tidak akan dihilangkan melalui kemudaratan. Sebagai contoh, saya sakit dan berkemungkinan akan mati jika tiada penderma organ. Doktor ingin menyelamatkan saya lantas doktor mendermakan organ buat saya. Bagaimana dengan doktor? Jika jelas mengakibatkan kesakitan dan membahayakan nyawa doktor, ia tetap tidak boleh dilakukan. Bagaimana mungkin kita ingin menyelamatkan seseorang dalam masa yang sama kita bakal menanggung kesakitan yang membahayakan?"


Mengingati jawapan Sumayyah beberapa hari lepas menggusarkan hatinya. Entah mengapa. Dia sendiri tidak pasti. Nubarinya sering tidak menentu akhir ini. Bertambah risau apabila memikirkan kata-kata dari. Anas semalam. Tahap kesihatan Sumayyah telah mencecah encephalopxathy dan kini bantuan pernafasan digunakan bagi menampung pernafasannya. Transplantasi hati perlu dilakukan segera. Berkemungkinan koma jika ditangguhkan.

Hatinya resah memikirkan. Dia sendiri hairan mengapa dia begitu risaukan hawa tersebut, sedang sebelum ini dialah pembenci makhluk Khalik bergelar hawa. 'Bagaimana dia harusku bantu. saya telah kehilangan separuh daripada hatiku.' Dalam tidak sedar dia membimbangi situasi hawa tersebut. Tidak dinafikan dia takut kehilangan hawa itu.

Longlai dia mengatur langkah ingin menemui hawa Sumayyah. Ingin mencari kenalan atau saudara yang hampir kepada hawa tersebut. Ingin juga dia menyampaikan pesanan umi yang akan melawatnya petang itu.

"Dia telah dipindahkan ke wad kritikal. Malam tadi dia mengalami kesukaran pernafasan yang amat sehingga menyebabkan dia separuh koma."

Kata-kata jururawat yang kebetulan berada di katil Sumayyah menyentap tangkai hatinya. Serta-merta wajahnya berubah. Segera dia berkejar ke wad yang dimaksudkan.

Sumayyah yang terbaring dipandang sayu. Wayar yang berselirat di tangan hawa itu melemaskan pandangannya. Pantas wajah dipalingkan apabila seorang jururawat menyuntik jarum halus di bahagian lengan milik hawa di hadapan. Sakitnya persis turut terasa ditubuhnya. Hatinya menjerit, tidak mengizinkan jarum itu menembusi urat hijau milik Sumayyah. Tampak manik jernih menuruni pipi hawa di hadapan.

"Doktor Ikmal, ini barang pesakit minta saya serahkan pada doktor."

Laptop pemberian umi kepada Sumayyah dibuka cermat. Jemari mengklik karya-karya yang dihasilkan hawa itu. 'Marsum buat dari. Ikmal'. Pantas. Dia tidak menunggu lama. Skrin di hadapan diladeni teliti.


Izinkan sahaja saya membahasakan diriku 'saya' denganmu agar serasi dan mudah marsum ini kunoktahkan. Andai hatimu punya persoalan mengapa, tentu sahaja jawapanku kerana di hadapan-Nya saya turut menggunakan bahasa ini.

Pernah dahulu kau nyatakan padaku, andai saya punya kesempatan hasilkan sahaja sebuah karya buatmu. Lalu atmaku menyedari masaku kian singkat dan mungkin saya tidak punya kesempatan lagi untuk menemanimu seperti selalu. Lalu marsum ini kubingkiskan buatmu. Anggap sahaja ianya hadiah dariku dalam menjalin persahabatan singkat denganmu.

Andai ditanya, apa yang saya inginkan saat ini. Pastinya akan kunyatakan saya ingin sekali dikurniakan kesempatan untuk hidup kali yang kedua. Masih banyak amanah dipundakku yang belum mampu untuk kulunaskan. Amanah agamaku, amanah kasih ayahku, amanah pengajianku yang terkandas dipertengahan, amanah ibumu dan yang pasti amanah seorang sahabat dalam saya menjalin untaian persahabatan denganmu.

Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa membimbing sahabatnya ke arah kebaikan bukan membiarkan. Justeru saya kesal kerana saya tidak bisa menjadi sahabat yang baik kepadamu. saya biarkan kau terus membenci ayahmu sedang saya tahu saya telah mengkhianati tulus sebuah persahabatan. Maafkan. saya tidak berupaya.

Ketahuilah… bahawa saya ingin sekali menjawab pertanyaanmu dahulu. Layakkah ayahmu dihormati dan dipanggil 'ayah' dengan segala perbuatannya terhadapmu? Namun saat itu saya maklumi jawapanku hanya akan masuk ke telinga kiri keluar telinga kanan. Amat bahaya mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak. Detik waktu yang kita habiskan bersama ingin kusuarakan. Namun lidahku kelu. saya juga tidak mampu untuk mengutarakannya. Bimbang renggangnya hubungan yang baru dibina.

Hanya di dalam marsum ini peluang akhirku. Dan saya amat berharap kau mengerti. saya tidak ingin mengkhianati amanah ibumu. Jauh sekali menyulam persahabatan palsu denganmu.

dari. Ikmal,
Walau bagaimana perbuatan ayahmu terhadapmu, dia tetap patut dan layak kau hormati. Sedarilah satu perkara yang telah lama kau lupakan. Dia ayahmu yang menyebabkan kewujudanmu ke buana ini. Buruk atau bagaimana keadaannya dia tetap darah dagingmu. Maafkan sahaja dirinya kerana Islam mengajar sebegitu. Bukanlah seseorang itu kuat dan gagah apabila dia dapat menewaskan lawannya. Tetapi mereka itu adalah insan yang mampu menahan diri daripada nafsu amarahnya.

Biarku ceriterakan sebuah hikayat agar kau tidak lagi membenci ayahmu. Hikayat ini berlaku di zaman Nabi Musa A.S. Seorang pemuda telah diangkat Allah sebagai jiran kepada Nabi-Nya Musa A.S di dalam syurga. Kau tahu sebabnya mengapa? Dia menghormati dan mengasihi kedua orang tuanya meskipun orang tuanya berbuat dosa kepada Allah sehingga mereka dirupakan kepada dua ekor khinzir. Urusan dosa pahala kedua orang tua bukan kita selayaknya menghukumi. Dia lebih mengetahui hikmah segala kejadian yang berlaku.

saya gembira apabila kau sudah mampu untuk tersenyum. Sedikit sebanyak amanah ibumu terlaksana. Ibumu seringkali gundah dengan keadaan dirimu. Ibu mana yang tidak risau andai anak yang disayangi sering dilingkari murung dan dendam? Sementelah dirinya seorang hawa. Persis dia yang telah menghilangkan senyum tawamu.

Benar katamu 'lah-rijal qawwamu a'lah an-nisa'. Namun itu bukanlah hujah apabila kebenaran terbukti. Setiap hawa itu dijadikan dari rusuk yang bengkok. Kaummu lah yang berperanan meluruskannya. Andai adam terlalu keras dalam melenturnya pastinya ia akan patah. Dan andai adam meninggalkannya terus dia akan tetap begitu. Terus bengkok. Lantaran adam dikurniakan sembilan akal dan satu nafsu berbanding hawa hanya satu akal dan sembilan nafsu. Tentu sahaja kaummu layak dan kuat berbanding hawa. Lantaran itu juga kaummu amat perlu membimbing hawa dalam banyak perkara. Jangan hairan atau pelik apabila hawa lebih emosional berbanding kaummu.

Hawa dijadikan dari rusuk adam. Bukan dari kepala sebagai atasan. Bukan juga dari kaki sebagai alasnya. Tetapi dekat dengan lengan untuk dilindungi. Dekat dengan hati untuk dididik dan dikasihi.

Demikian hawa dijadikan Khalik menjadi sayap kiri adam. Tanpa hawa dunia terasa sempit dan tidak seronok didiami. Nabi Adam pernah gundah hidup keseorangan di dalam syurga yang indah.. Lalu Khalik kurniakan Hawa mengisi kekosongan jiwa. Tanpa permaisuri siapalah adam yang menjadi raja. Tanpa isteri siapalah adam yang bergelar suami.

Tanpa Siti Khadijah barangkali Rasulullah tidak mendapat dorongan yang amat diperlukan untuk terus bangkit berpegang teguh kepada keyakinannya dalam menyebarkan Islam. Tanpa Aisyah barangkali banyak hadis Rasulullah tidak diketahui umat seluruhnya. Tanpa Siti Fatimah barangkali Ali tidak muncul sebagai menantu kesayangan Nabi. Tanpa Asiah barangkali Nabi Musa tidak terbela dalam menentang Firaun durjana. Tanpa Masyitah barangkali tidak terbukti hawa boleh berpegang teguh kepada keimanan biar maut terhampar di hadapan mata. Dan tanpa hawa siapalah adam kerana adam hadir dari perut seorang hawa.

saya kira kau memahaminya. Lontarkan kesumat dendammu. Terima sahaja kebenaran ini. Kadangkala kita terpaksa mengorbankan hati dan perasaan kita sendiri demi menjaga hati dan perasaan orang lain meskipun kita berada di pihak yang benar. Justeru itu saya berpegang; 'berkata benarlah walaupun ianya pahit'. Maafkan saya andai garisah dan atmamu saya gurisi. Ketahuilah saya menyayangi ukhwah ini. Andai ditakdir saya hidup sekali lagi. Izinkan saya menjadi sayap kiri perjuangan dirimu. Maafkan saya buat kesekian kalinya. Hargai ibumu kerana dia juga seorang hawa sepertiku.

Buat akhirnya,
Andai hidup ini punca perpisahan, biarlah mati menyambungnya semula. Namun, seandainya mati punca perpisahan, biarlah hidup ini membawa erti yang nyata.

Hawa,
Sumayyah bte Muhammad Yasir.

Titisan manik jernih bertakung lama di tubir mata. Lalu tumpah menuruni pipi. Ikmal sendiri persis tidak percaya. Dia yang dahulu tidak mengenal fungsi air mata kini menangis hanya kerana seorang hawa bernama Sumayyah. Di jihat lain makcik Nafisah mengerti situasi dua hati. 'Kerana kalian akan kudermakan sebahagian hatiku. Terima kasih Sumayyah!'





Glosari:

Walah: tidak terlawan, kalah
Pidana: jahat
Pasca: sesudah, selepas
Gancang: pantas
Kasus: lingkaran, kaitan
Waima: walaupun, meskipun
Tergegau metah: terkejut sangat
Mandala: ilmu, ruang lingkup
Garisah: naluri
Persis: seperti
Rafik: kawan, sahabat (karib)
Ladeni: melayani, mempedulikan
Ceritera: cerita
Sementelah: lebih-lebih lagi


 

0 comments: